Saturday, December 27, 2008

SIFAT SABAR DAN PEMAAF IMAM ABU HANIFAH

Imam Isyam bin Yusuf pernah bercerita, "Pada suatu hari ada seorang lelaki berdiri di halaman masjid sambil mencela dan mencaci maki Imam Abu Hanifah dengan mulutnya yang kasar dan amat tidak sopan. Padahal ketika itu Imam Abu Hanifah sedang memberi pengajaran kepada para penuntut dan muridnya. Beliau tidak mengindahkan dan tidak pula berpaling kepada orang yang mencerca itu. Juga tidak menjawab cercaan orang itu terhadap dirinya. Bahkan beliau melarang para muridnya memalingkan muka ke arah orang biadap itu.

Kemudian, setelah habis beliau memberi pengajaran, beliau pun pulang ke rumahnya, sementara lelaki itu masih mengekorinya. Ketika sampai di pintu rumah dan sebelum masuk ke dalam, Imam Abu Hanifah memalingkan muka ke arah lelaki itu dan berkata:
"Inilah rumah saya. Sebelum saya masuk ke dalamnya, katakanlah apa sahaja perkataan yang hendak kamu katakan kepadaku. Luahkanlah semuanya agar perkataan kasar dan busuk itu tidak tersimpan lama."

Kata-kata Imam Abu Hanifah itu menjadikan lelaki itu merasa sangat malu dan segera memohon maaf. Imam Abu Hanifah menerima permohonan maaf itu tanpa rasa keberatan sedikitpun.

Thursday, December 25, 2008

KISAH IMAM ABU HANIFAH MEMBELI DENGAN HARGA LEBIH TINGGI

Diriwayatkan oleh Imam Waki' bin Jarrah (guru kepada Imam Asy-Syafiee rhm) bahawa pada suatu hari ketika beliau berada di kedai Imam Abu Hanifah. Datanglah seorang perempuan membawa sehelai pakaian sutera untuk dijual kepada Imam Abu Hanifah.
"Berapa harga kamu hendak menjualnya?" tanya Imam Abu Hanifah.
"Seratus dirham," jawab si perempuan.
"Seratus dirham terlalu murah, puan!" jawab Imam Abu Hanifah pula.
Perempuan itu mengannggap Imam Abu Hanifah mempermain-mainkannya. "Apakah tuan mempermain-mainkan saya?"
"Tidak. Kalau puan tidak percaya, bawakan ke sini seorang lelaki (untuk menjadi saksi)".

Setelah perempuan itu membawa seorang lelaki sebagai saksi, Imam Abu Hanifah pu membeli pakaian perempuan itu dengan harga lima ratus dirham. Dan saksi itu mengakui nilai yang diambil oleh Imam Abu Hanifah itu sebagai berpatutan dan tidak mahal.

Demikianlah contoh akhlak mulia seorang muslim sejati. Pemurah, baik hati dan jauh dari sifat-sifat menipu sesama manusia lebih-lebih lagi saudara seagama.

Tuesday, December 23, 2008

KISAH IMAM ABU HANIFAH MEMBANTU PELAJAR MISKIN

Imam Abu Hanifah boleh dianggap seorang yang berada kerana bapanya seorang saudagar. sebagai seorang guru agama yang tersohor, ramailah murid berminat belajar termasuklah seorang kanak-kanak dari keluarga sangat miskin bernama Abu Yusuf yang kemudiannya bergelar Imam Abu Yusuf yang terkenal.

Pada mulanya, ayah Abu Yusuf melarang beliau berguru. "Wahai anakku, janganlah engkau menghulurkan kakimu ke majlis Abu Hanafiah. Dia seorang yang kaya dan mempunyai kecukupa dalam hidup. Sedangkan engkau amat memerlukan kepada penghidupan." Maka sejak hari itulah Abu Yusuf tidak lagi datang berguru.

Pada suatu hari, Imam Abu Hanafiah mencari Abu Yusuf (kerana suka kepada pelajarnya yang bijak itu). Abu Yusuf pun menceritakan tentang masalahnya. Selepas itu, Abu Yusuf kembali semula ke majlis ilmu. Selepas semua pelajar telah pulang, Imam Abu Hanifah memberinya sepundi uncang berisi wang 100 dirham (RM 10).

"Wahai Abu Yusuf datanglah ke majlis ilmu. Sekiranya wang itu habis, beritahu segera padaku, nanti aku akan menambahnya lagi"

Demikianlah berlanjutan Abu Hanafiah memberi biaya kepada murid kesayangannya. Dengan cara itu Abu Yusuf tidak perlu lagi berkerja untuk mencari sara hidup sehinggalah akhirnya Abu Yusuf menjadi seorang ulama...

Saturday, December 20, 2008

KISAH SIFAT CERDIK IMAM ABU HANIFAH

Pada suatu hari seorang lelaki menemui Imam Abu Hanifah mengadukan masalah. "Saya akan bercerai dengan isteri saya sebaik-baik sahaja terbit fajar subuh nanti hari ini kerana kesilapan saya. Saya telah berkata kepada isteri saya, jika dia tidak berkata-kata dengan saya sehingga terbit fajar maka tercerailah dia dengan talak tiga. Dan hingga saat ini isteri saya masih tidak mahu berkata-kata dengan saya".

Imam Abu Hanifah mengajar lelaki itu, katanya, " Ooo begitu, pergilah awak kepada Tukang Bang di masjid beritahu dia supaya melaungkan bang pada malam ini sebelum subuh. Bila isteri awak mendengar suara bang, dia menyangka waktu subuh sudah masuk dan dia pasti gembira dan berkata kepada awak bahawa dia sudah bercerai dari awak".

Sebaik sahaja mendengar tunjuk ajar dari Imam Abu Hanifah, lelaki itu terus berlari ke rumah muazin dan menceritakan kepada tukang Bang masalahnya dan meminta tolong kepada Tukang Bang itu. Setelah hampir waktu subuh Tukang Bang itu terus mengalunkan bang. Apabila mendengar suara bang, isteri lelaki itu terus berkata kepada suaminya, "Ooo itu sudah bang, sekarang saya sudah tercerai dari awak."

"Oh tidak. Bang yang awak dengar itu buka bang fajar, dan awak sekali-kali tidak tertalak dari saya. Kerana aawak sudah bercakap sebelum naik fajar. Sekarang ini belum pun lagi fajar naik menyingsing."

Demikianlah kecerdikan Imam Abu Hanifah menyelamatkan rumahtangga sepasang suami isteri yang hampir hancur. Jika kita ditempat Imam Abu Hanifah, agaknya apa pendapat kita???...

(Nota: Al Kisah ini dipetik daripada buku "Siri Imam Mazhab" Siri 1 : Imam Abu Hanifah, tulisan Tarikuddin Bin Hj. Hassan, 2003. Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa. Hal. 38-39. )

Friday, December 19, 2008

JANGAN SENGAJA KUFUR NIKMAT ALLAH...

Ramai beranggapan, bila seseorang itu zuhud, alim, takwa, qanaah maka kehidupannnya mestilah ala-ala orang miskin. Pakaian lusuh, rambut selekeh, janggut panjang, kereta buruk (jika ada kereta) dan sifat-sifat yang seumpamanya. Ini kurang tepat. Dalil saya ialah - IMAM ABU HANIFAH (Pengasas Mahzab Hanafi).
Menurut riwayat yang sahih, Imam Abu Hanafiah seorang yang segak, suka berpakaian kemas dan indah serta menghias diri sedanya, dan gemar mewangikan tubuh badan. Beliau kurang senang kalau melihat perilaku orang yang "sengaja buat selekeh dengan iktikad bahawa itulah gaya sufi yang sempurna".
Suatu kisah ada menceritakan bahawa pada suatu hari Imam Abu Hanafiah terpandang kepada seorang yang menghadiri majlis ilmunya dengan pakaian yang tidak senonoh. Setelah majlis tamat, beliau memberi isyarat agar orang tersebut jangan pulang dulu. Imam Abu Hanafiah lalu mendekati orang itu dan berkata kepadanya, "Angkatlah tikar yang sedang awak duduk dan ambillah apa yang ada di bawahnya." Ternyata di bawah tikar itu ada sejumlah wang sebayak 1,000 dirham.
"Gunakanlah wang itu untuk membeli pakaian baru!" kata Imam Abu Hanafiah.
"Saya sebenarnya tidak memerlukan wang ini kerana saya adalah orang yang berada (mempunyai kekayaan)", jawab lelaki itu.
Mendengar jawapan orang yang sebennarnya kaya itu, Imam Abu Hanafiah menjawab, "Apakah awak tidak pernah mendengar sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis baginda yang berbunyi: Sesungguhnya Allah swt suka melihat kesan nikmatNya di atas hambaNya?".

Sayang sekali saya bukan ustaz/ulama/kyai. Kalaulah saya punya autoriti untuk beri ulasan, pasti saya akan memberi ulasan lebih terperinci. Tak mengapalah, saya harap pembaca bolehlah memahami, merenungi dan mengetahui hakikat "nikmat Allah"...sama-samalah kita mendalami hakikat sebenar zuhud dan qanaah agar tidak silap bertingkahlaku sehingga jadi seperti lelaki kaya yang sengaja bertingkahlaku tidak sepatutnya.

Thursday, December 18, 2008

AL-QURAN SUMBER KEKUATAN

Ada seorang hamba Allah pernah dihimpit oleh masalah kekeluargaan yang amat menekan jiwa dan perasaannya. Bagaimana ia boleh terlibat dalam kancah "konflik" ini terlalu panjang untuk diceritakan. Memadailah kalau diringkaskan di sini bahawa niat beliau sebenarnya mahu mendamaikan semua pihak yang bertelingkah tentang harta benda. Beliau juga ingin mendamaikan jiwa-jiwa yang bertelingkah pasal harta. Oleh sebab dalam dunia sekarang ini terlalu ramai yang tidak ikhlas untuk memperjuangkan apa sahaja, maka hamba Allah ini juga turut dikecam sebagai cuba membolot harta walhal beliaulah yang berusaha keras untuk mengusai permasalahan ini kerana belliaulah yang telah menyelidik sebab musabab segala masalah dalaman keluarga tersebut.

Menurut hamba Allah ini, oleh kerana beliau berbuat demikian, maka ramailah yang membenci dan bersangka buruk sehinggakan ada usaha-usaha untuk menjahanamkan dirinya dan keluarganya. Berbagai cubaan jahat ditujukan termasuk perbuatan "mistik". Beliau terpaksa berubat di sana-sini tetapi cubaan jahat itu tidak henti-hentinya, bahkan beliau semakin tertekan keran fitnah meluas dengan cepat sekali. Ini membuatnya sangat sedih dan sering menangis. Sedih kerana kaum keluarga sendiri tidak memahami apa niat perjuangannya.

Dipendekkan cerita, pada satu hari hamba Allah ini terbuka hati untuk menyelak lembaran-lembaran Al-Quran. Sesuatu keajaiban terasa! Setiap kali beliau menghadapi sesuatu jenis tohmahan, ugutan, masalah dan sebagainya, beliau akan menyelak Al-Quran (secara rambang tetapi didahului dengan niat minta petunjuk) mengikut gerak hati dan pada masa itulah akan ditemuinya ayat/Firman Tuhan yang bersesuaian dengan apa yang dihadapi atau difikirkannya. Sebagai contoh bila terdetik di hatinya untuk membalas, dia akan jumpa ayat tentang bersabar. Bila timbul di hati prasangka, dia akan jumpa ayat tentang tegahan berburuk sangka. Dan banyak lagi. Menurut hamba Allah ini, keajaiban itulah titik mula dia kembali rajin mendekati Allah melalui amalan zikir, sholat dan tadarus. Dia menjadi kuat dan berani. Segala macam dugaan dihadapinya dengan tenang. Dia kini boleh senyum dan ceria. Alhamdulilah, berkat perlindungan Allah, beliau mampu bertahan setahun daripada berbagai serangan dari berbagai pihak/puak.

Menurut hamba Allah ini lagi, masalah itulah jua titik mula dia suka mengembara menemui guru-guru agama dan guru-guru mistik untuk tujuan memulihkan jiwa dan sakit yang dialaminya. Alhmdulilah, kini beliau telah bebas daripada masalah duniawi yang cuba diperjuangkannya. "Dunia/harta boleh membuat manusia normal jadi tidak siuman. Jika ingin membantu manusia, nilailah sama ada dia wajar dibantu atau tidak. Dalam dunia ini, ramai boleh menjadi kawan ketawa tapi sangat sedikit sedia jadi teman menangis. Tapi yakinlah, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kekadang masalah itu boleh membawa kepada cahaya. Cahaya paling terang adalah kitabullah (Al-quran, Injil, Zabur,, Taurat...)" Demikianlah kata-kata indah daripada sahabat saya yang mulia jiwa ini. Aku sendiri sering berguru dengan beliau tentang kehidupan. Apa salahnya berguru dengan orang muda kalau orang itu boleh memberikan pelajaran yang bermakna...

MUKADIMMAH ALKISAH

Laman ini mengkhusus kepada kisah-kisah yang agak luar biasa yang terjadi di kalangan insan-insan biasa dan yang luar biasa. Jika kisah yang saya paparkan berkaitan para wali, ianya adalah kisah benar mengikut apa yang saya baca dalam berbagai sumber berkaitan "Kisah para wali". Jika kisahnya berkaitan insan biasa, ia juga merupakan kisah benar sebagaimana perakuan insan tersebut yang boleh diyakini kejujurannya. Apapun, Yang Maha Benar dan Yang Maha Tahu hanyalah ALLAH. Dan kerana Dia ku tulis Al-Kisah ini, kerana aku yakin bahawa setiap pekerjaan yang baik pasti natijahnya baik untuk menuju ke tempat baik. InsyaAllah...