Saturday, December 27, 2008

SIFAT SABAR DAN PEMAAF IMAM ABU HANIFAH

Imam Isyam bin Yusuf pernah bercerita, "Pada suatu hari ada seorang lelaki berdiri di halaman masjid sambil mencela dan mencaci maki Imam Abu Hanifah dengan mulutnya yang kasar dan amat tidak sopan. Padahal ketika itu Imam Abu Hanifah sedang memberi pengajaran kepada para penuntut dan muridnya. Beliau tidak mengindahkan dan tidak pula berpaling kepada orang yang mencerca itu. Juga tidak menjawab cercaan orang itu terhadap dirinya. Bahkan beliau melarang para muridnya memalingkan muka ke arah orang biadap itu.

Kemudian, setelah habis beliau memberi pengajaran, beliau pun pulang ke rumahnya, sementara lelaki itu masih mengekorinya. Ketika sampai di pintu rumah dan sebelum masuk ke dalam, Imam Abu Hanifah memalingkan muka ke arah lelaki itu dan berkata:
"Inilah rumah saya. Sebelum saya masuk ke dalamnya, katakanlah apa sahaja perkataan yang hendak kamu katakan kepadaku. Luahkanlah semuanya agar perkataan kasar dan busuk itu tidak tersimpan lama."

Kata-kata Imam Abu Hanifah itu menjadikan lelaki itu merasa sangat malu dan segera memohon maaf. Imam Abu Hanifah menerima permohonan maaf itu tanpa rasa keberatan sedikitpun.

No comments:

Post a Comment