Thursday, December 18, 2008

AL-QURAN SUMBER KEKUATAN

Ada seorang hamba Allah pernah dihimpit oleh masalah kekeluargaan yang amat menekan jiwa dan perasaannya. Bagaimana ia boleh terlibat dalam kancah "konflik" ini terlalu panjang untuk diceritakan. Memadailah kalau diringkaskan di sini bahawa niat beliau sebenarnya mahu mendamaikan semua pihak yang bertelingkah tentang harta benda. Beliau juga ingin mendamaikan jiwa-jiwa yang bertelingkah pasal harta. Oleh sebab dalam dunia sekarang ini terlalu ramai yang tidak ikhlas untuk memperjuangkan apa sahaja, maka hamba Allah ini juga turut dikecam sebagai cuba membolot harta walhal beliaulah yang berusaha keras untuk mengusai permasalahan ini kerana belliaulah yang telah menyelidik sebab musabab segala masalah dalaman keluarga tersebut.

Menurut hamba Allah ini, oleh kerana beliau berbuat demikian, maka ramailah yang membenci dan bersangka buruk sehinggakan ada usaha-usaha untuk menjahanamkan dirinya dan keluarganya. Berbagai cubaan jahat ditujukan termasuk perbuatan "mistik". Beliau terpaksa berubat di sana-sini tetapi cubaan jahat itu tidak henti-hentinya, bahkan beliau semakin tertekan keran fitnah meluas dengan cepat sekali. Ini membuatnya sangat sedih dan sering menangis. Sedih kerana kaum keluarga sendiri tidak memahami apa niat perjuangannya.

Dipendekkan cerita, pada satu hari hamba Allah ini terbuka hati untuk menyelak lembaran-lembaran Al-Quran. Sesuatu keajaiban terasa! Setiap kali beliau menghadapi sesuatu jenis tohmahan, ugutan, masalah dan sebagainya, beliau akan menyelak Al-Quran (secara rambang tetapi didahului dengan niat minta petunjuk) mengikut gerak hati dan pada masa itulah akan ditemuinya ayat/Firman Tuhan yang bersesuaian dengan apa yang dihadapi atau difikirkannya. Sebagai contoh bila terdetik di hatinya untuk membalas, dia akan jumpa ayat tentang bersabar. Bila timbul di hati prasangka, dia akan jumpa ayat tentang tegahan berburuk sangka. Dan banyak lagi. Menurut hamba Allah ini, keajaiban itulah titik mula dia kembali rajin mendekati Allah melalui amalan zikir, sholat dan tadarus. Dia menjadi kuat dan berani. Segala macam dugaan dihadapinya dengan tenang. Dia kini boleh senyum dan ceria. Alhamdulilah, berkat perlindungan Allah, beliau mampu bertahan setahun daripada berbagai serangan dari berbagai pihak/puak.

Menurut hamba Allah ini lagi, masalah itulah jua titik mula dia suka mengembara menemui guru-guru agama dan guru-guru mistik untuk tujuan memulihkan jiwa dan sakit yang dialaminya. Alhmdulilah, kini beliau telah bebas daripada masalah duniawi yang cuba diperjuangkannya. "Dunia/harta boleh membuat manusia normal jadi tidak siuman. Jika ingin membantu manusia, nilailah sama ada dia wajar dibantu atau tidak. Dalam dunia ini, ramai boleh menjadi kawan ketawa tapi sangat sedikit sedia jadi teman menangis. Tapi yakinlah, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kekadang masalah itu boleh membawa kepada cahaya. Cahaya paling terang adalah kitabullah (Al-quran, Injil, Zabur,, Taurat...)" Demikianlah kata-kata indah daripada sahabat saya yang mulia jiwa ini. Aku sendiri sering berguru dengan beliau tentang kehidupan. Apa salahnya berguru dengan orang muda kalau orang itu boleh memberikan pelajaran yang bermakna...

1 comment: